AQIQAH
MAKSUD & HUKUM AQIQAH
Aqiqah menurut bahasa ertinya “rambut yang tumbuh di atas kepala bayi pada kala waktu lahirnya.” Demikian pendapat ‘Ubaid, Ashmu’i dan Zamakhsyari.
Menurut istilah hukum syarak aqiqah ialah “penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, di samping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu.”
Imam Syafi’e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Maksud hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)
Ibnu Al-Qayyim menegaskan bahawa aqiqah itu memelihara bayi tesebut daripada golongan syaitan dalam urusan dunia dan akhirat.
Juga sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya.” (Maksud hadis riwayat Tirmidzi)
Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi.
Imam Ibnu Qayyim pula menyabitkan aqiqah dengan nilai korban seekor kambing yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagai ganti diri untuk Nabi Ismail AS. Maka dengan itu, difahamkan bahawa penyembelihan aqiqah untuk anak yang dilahirkan berguna untuk melindungi bayi daripada gangguan syaitan.
JENIS HAIWAN & KADAR AQIQAH Haiwan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadah korban.
1. Kibas : umur haiwan satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan 2. Biri-biri dan kambing : umur haiwan melebihi satu tahun apabila gugur gigi susuan / hadapannya 3. Lembu dan kerbau : umur haiwan melebihi dua tahun 4. Unta : umur haiwan melebihi lima tahun
Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
Yang lebih utama untuk kadar aqiqah bagi seorang anak lelaki ialah dua ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor kambing, menurut hadis riwayat Aisyah yang maksudnya: “Rasullulah SAW memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.”
Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki ini bukanlah merupakan suatu kemestian, kerana Rasulullah SAW telah membuat aqiqah untuk cucu Baginda SAW Saidina Hasan dan Husin RA, masing-masing seekor kibas.
Haiwan aqiqah seperti lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sehingga 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
Imam Malik, Asy Syafi’e, Ahmad dan jumhur ulama berpendapat, aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri (sama seperti ibadah korban). Juga dibolehkan seekor unta atau seekor lembu misalnya dikongsi sehingga tujuh orang walaupun ada bahagian daripada lembu atau unta itu bukan untuk aqiqah.
Apabila ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah anaknya, ketika berusia 7 hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari. Kemudiannya ketika umur 21 hari. Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya hingga anak itu dewasa (baligh).
Apabila anak sudah dewasa, maka ada para ulama’ menetapkan sunat bagi ibu bapa membuat korbannya, tidak membuat aqiqahnya. Menurut satu golongan, jika seorang anak sudah dewasa, tetapi belum dibuat aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya membuat aqiqah untuk dirinya sendiri.
PERBEZAAN AQIQAH DAN KORBAN Antara perbezaan korban dan aqiqah ialah:
1. Daging korban lebih utama disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah iaitu belum dimasak.
Manakala daging aqiqah lebih utama disedekah kepada fakir miskin dan boleh juga kepada orang-orang kaya dalam keadaan sudah dimasak.
Hadis riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah menyatakan bahawa: “menyedekahkan daging aqiqah dalam keadaan sudah dimasak itu adalah sunnah.” (maksud hadis)
2. Daging aqiqah sunat dimasak dengan yang manis-manis, dengan doa harapan agar akhlak dan kelakuan anak itu kelak menjadi manis dipandang orang.
3. Tulang-tulang haiwan aqiqah sunat dipotong pada sendi-sendinya manakala tulang-tulang haiwan korban tidak sedemikian.
4. Tempoh menyembelih ternakan korban hanya 4 hari dalam setahun, iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah sedangkan menyembelih ternakan aqiqah tidak terbatas kepada hari-hari tersebut, bahkan boleh dibuat pada bila-bila hari yang sesuai.
5. Tuntutan melakukan ibadah aqiqah hanyalah sekali sahaja sepanjang hayat, manakala tuntutan melakukan ibadah korban ialah setiap tahun hijrah.
* sumber google......